Saturday, June 30, 2012

Mikroekonomi: Kehendak & Jenis Barang

a)
Apakah yang dimaksudkan dengan kehendak ?
[1]

Kehendak merupakan keinginan manusia mendapatkan barang dan perkhidmatan bagi mencapai kehidupan yang lebih selesa.

b)
Dengan memberikan contoh yang sesuai, bezakan barang-barang yang berikut:


i.
Barang ekonomi dan barang percuma
[3]


Barang ekonomi merupakan barang yang penawarannya adalah terhad. Penggunaannya melibatkan harga dan kos lepas. Ia hanya boleh dimiliki oleh individu yang mempunyai kuasa beli. Barang ini dikeluarkan oleh pihak swasta yang bermotifkan keuntungan.
Contoh: kereta, pakaian, alat permainan dan makanan

Barang percuma merupakan anugerah tuhan yang penawarannya tidak terhad. Ia tidak mempunyai harga, tidak melibatkan kos lepas dan diperolehi secara percuma.
Contoh: udara, air sungai dan air hujan





ii.
Barang awam dan barang persendirian
[3]


Barang awam ialah barang yang penggunaannya tidak boleh dikecualikan kepada penggunaan semua orang. Ia disediakan oleh kerajaan untuk memberikan kebajikan kepada masyarakat dan bukannya untuk mendapatkan keuntungan.
Contoh: Rumah api, taman rekreasi, sekolah kerajaan dan hospital kerajaan

Barang persendirian ialah barang yang mempunyai pemilik dan tidak boleh digunakan oleh pihak lain. Ia disediakan oleh pihak swasta untuk mendapatkan keuntungan dan hanya boleh dimiliki oleh individu yang mempunyai kuasa beli
Contoh: kereta, televisyen dan pakaian 




iii.
Barang pengguna dan barang modal
[3]


Barang pengguna ialah barang yang dihasilkan oleh firma untuk memenuhi keperluan dan kegunaan individu atau masyarakat.
Contoh: motorsikal, perabot dan makanan

Barang modal ialah barang yang dihasilkan oleh sesebuah firma yang akan digunakan semula oleh firma lain sebagai faktor pengeluaran untuk mengeluarkan barang lain.
Contoh: mesin dan jentera, bangunan kilang dan bangunan pejabat