Tuesday, February 12, 2013

Pelaburan Dan Faktor Mempengaruhi Pelaburan

(a)     Apakah maksud pelaburan dan fungsi pelaburan? Nyatakan dua contoh perbelanjaan pelaburan


[3]
(b)     Jelaskan tiga penentu pelaburan

[7]

Jawapan Cadangan:
 
(a)    Apakah maksud pelaburan dan fungsi pelaburan? Nyatakan dua contoh perbelanjaan pelaburan


[3]
         Pelaburan adalah perbelanjaan firma ke atas barang-barang modal untuk menambahkan pengeluaran barang dan perkhidmatan, serta perbelanjaan menggantikan barang-barang modal lama yang tidak boleh digunakan lagi

         Fungsi pelaburan ialah keluk yang menunjukkan hubungan di antara pelaburan dengan pendapatan negara

         Dua contoh perbelanjaan pelaburan ialah
         i.      perbelanjaan ke atas barang-barang modal seperti mesin dan jentera yang digunakan dalam proses pengeluaran
         ii.     perbelanjaan membina rumah kediaman, bangunan kilang dan pejabat
         iii.    pertambahan inventori / stok

(b)     Jelaskan tiga penentu pelaburan
[7]

         i.      Kadar bunga
                 Tingkat pelaburan mempunyai hubungan negatif dengan kadar bunga. Semakin rendah kadar bunga, semakin rendah kos pinjaman dan semakin tinggi tingkat pelaburan.

Peningkatan kadar bunga dari r0 ke r1 akan mengurangkan pelaburan dari I0 ke I1. Penurunan kadar bunga dari r0 ke r2 akan meningkatkan  pelaburan dari I0 ke I2

         ii.     Kemajuan teknologi
                 Kemajuan teknologi seperti penggunaan mesin dan komputer akan meningkatkan kecekapan firma. Kesannya kadar pulangan pelaburan akan meningkat menyebabkan pelaburan juga meningkat

         iii.    Kestabilan ekonomi
                 Kestabilan ekonomi memudahkan jangkaan perkembangan ekonomi pada masa depan dibuat. Ia akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih cepat di masa depan dan  meningkatkan lebih banyak pelaburan

         iv.    Dasar kerajaan
                 Dasar kerajaan yang mengurangkan cukai korporat akan menambahkan keuntungan selepas cukai firma, di samping pemberian taraf perintis yang meningkatkan keuntungan pelabur akan menarik minat firma-firma untuk meningkatkan pelaburan.

         v.     Jangkaan masa depan
                 Jangkaan ekonomi masa depan yang menggalakkan akan meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap ekonomi negara. Ini akan menarik kemasukan pelaburan baru dan menggalakkan pelabur sedia ada menambahkan pelaburan menyebabkan pelaburan meningkat.

Nota: Soalan (b): fakta (i) mesti diberikan