Monday, April 8, 2013

Kelemahan Teori Faedah Berbanding Dan Sebab Sekatan PAB

(a)   Huraikan empat kelemahan dalam andaian teori faedah berbanding

(b)   Terangkan dua alasan mengapa kebanyakan negara mengenakan sekatan terhadap perdagangan     Atau
        Jelaskan dua alasan mengapa sesebuah negara mengamalkan dasar perlindungan                         Atau
        Jelaskan dua alasan mengapa sekatan perdagangan dilakukan.

[6]





[4]
Jawapan Cadangan

(a)   Huraikan empat kelemahan dalam andaian teori faedah berbanding.



[6]
       i.   Terdapat dua negara sahaja
            Teori mengandaikan hanya dua buah negara sahaja yang berdagang, sedangkan pada realitinya perdagangan antarabangsa melibatkan banyak negara yang saling berdagang di antara satu sama lain    
  
       ii.  Terdapat dua barang sahaja
            Teori mengandaikan hanya 2 jenis barang sahaja yang diperdagangkan. Setiap negara mengeluarkan banyak barang. Oleh itu, perdagangan antarabangsa akan melibatkan urus niaga banyak barang.

       iii.  Guna tenaga penuh tercapai
            Setiap negara yang berdagang diandaikan telah mencapai tingkat guna tenaga penuh. Dalam keadaan sebenar, kebanyakan negara tidak mencapai tingkat guna tenaga penuh kerana kadar pengangguran yang melebihi 5%

       iv. Kos lepas yang malar
            Ini berdasarkan andaian bahawa jenis faktor yang digunakan adalah homogen. Realitinya, kecekapan dan mobiliti faktor pengeluaran adalah  tidak sama dan ia akan menyebabkan kos lepas boleh meningkat

       v.  Wujud perdagangan bebas
            Teori mengandaikan setiap negara menjalankan perdagangan bebas tanpa sekatan. Ralitinya, perdagangan bebas tidak wujud kerana masih ada negara yang menjalankan dasar perlindungan dan  sekatan dalam perdagangan antara negara seperti kuota dan tariff

       vi. Tiada kos pengangkutan
            Teori mengandaikan perdagangan tidak melibatkan kos pengangkutan. Dalam keadaan sebenar, wujud kos pengangkutan dalam perdagangan. Semakin jauh jarak di antara negara yang berdagang, semakin tinggi kos pengangkutan yang ditanggung oleh setiap negara

(b)   Terangkan mengapakah kebanyakan negara mengenakan sekatan terhadap perdagangan     Atau
        Jelaskan dua alasan mengapa sesebuah negara mengamalkan dasar perlindungan                         Atau
        Jelaskan dua alasan mengapa sekatan perdagangan dilakukan.





[4]

        i.     Menggalakkan perkembangan industri muda
               Industri muda menghadapi kos pengeluaran yang tinggi kerana ia belum menikmati ekonomi bidangan.
               Keadaan ini menyebabkan keluaran industri muda tempatan tidak dapat bersaing dengan keluaran industri luar negeri disebabkan harga yang tinggi dan kualiti yang rendah.
               Ini mendorong kerajaan mengenakan sekatan untuk menggalakkan perkembangan industri muda tempatan.

        ii.     Melindungi industri penting negara
               Industri-industri seperti industri besi waja, kereta, beras dan sebagainya merupakan industri penting negara kerana ia memberikan sumbangan yang besar terhadap tingkat gunatenaga.
               Tanpa dasar sekatan, industri-industri ini mungkin mengalami kemerosotan (kerana kesukaran  untuk bersaing dengan industri luar negara) dan terpaksa ditutup, menyebabkan timbulnya masalah pengangguran.

        iii.    Membaiki imbangan pembayaran
               Import yang melebihi eksport menyebabkan berlakunya defisit  imbangan pembayaran yang akan mengurangkan simpanan matawang asing negara dan menjejaskan ekonomi.
               Satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan meningkatkan permintaan terhadap keluaran tempatan, iaitu mengurangkan import melalui sekatan import seperti tariff atau kuota.

        iv.   Mengatasi masalah pengangguran.
               Kemajuan pengeluaran di luar negara menyebabkan harga keluaran mereka menjadi lebih murah. Import negara akan bertambah dan permintaan terhadap keluaran tempatan berkurang menyebabkan aktiviti ekonomi negara merosot dan menwujudkan masalah pengangguran.
               Oleh itu, sekatan import boleh mengurangkan import, meningkatkan keluaran industri penggantian import, meningkatkan guna tenaga dan mengurangkan pengangguran

        v.    Menghalang perlambakan
               Sesetengah negara yang ingin meluaskan pasaran akan menjalankan dasar perlambakan, iaitu menjual barang-barang di luar negara pada harga yang murah.
               Kesannya, industri tempatan akan kehilangan pasaran. Oleh itu, sekatan import adalah diperlukan untuk menghindari perlambakan yang menjejaskan perkembangan industri tempatan.

        vi.   Mempelbagaikan ekonomi
               Untuk mempelbagaikan ekonomi, kegiatan ekonomi bukan sahaja  perlu bergantung kepada sektor pertanian tetapi juga kepada sektor perkilangan.
               Oleh itu, sekatan perdagangan perlu dijalankan untuk mengurangkan persaingan, bagi memastikan sektor perkilangan dapat berkembang dengan baik supaya pendapatan negara meningkat dan struktur ekonomi negara menjadi semakin kukuh.