Wednesday, October 16, 2013

Ekonomi Malaysia: Tajuk 3 (S3)

Tajuk: Perdagangan Antarabangsa Dan Imbangan Pembayaran

3
Jelaskan tiga kesan negatif yang wujud daripada perdagangan antarabangsa
[6]

Jawapan Cadangan


(a)
Persaingan kepada industri muda
Keupayaan pengeluaran industri muda tidak mencapai kecekapan yang optimum dan menghadapi kos pengeluaran yang tinggi kerana belum menikmati ekonomi bidangan.
Perdagangan antarabangsa memungkinkan industri ini merosot kerana  tidak dapat bersaing dengan keluaran industri luar negeri yang lebih berkualiti serta murah, menyebabkannya terpaksa ditutup.




(b)
Imbangan pembayaran negatif
Perdagangan antarabangsa akan mewujudkan imbangan pembayaran yang defisit sekiranya nilai eksport kurang daripada nilai import. Keadaan ini menyebabkan aliran wang ke luar negara adalah melebihi aliran masuk wang ke dalam negara.
Kesannya, rizab negara merosot dan menjejaskan kestabilan nilai mata wang negara.




(c)
Menggalakkan lambakan
Sesetengah negara yang ingin meluaskan pasaran akan menjalankan dasar perlambakan di pasaran luar negara, iaitu menjual barang-barang di luar negara pada harga yang lebih rendah daripada kos pengeluarannya.
Kesannya, industri tempatan akan kehilangan pasaran kerana permintaan terhadap barang import akan meningkat.




(d)
Meningkatkan pengangguran
Kemajuan pengeluaran di luar negara menyebabkan harga keluaran mereka menjadi lebih murah. Import negara akan bertambah, menyebabkan permintaan terhadap keluaran industri penggantian import tempatan berkurang.
Tingkat kegiatan ekonomi negara merosot dan permintaan terhadap tenaga buruh berkurang menyebabkan pengangguran meningkat.




(e)
Mewujudkan inflasi diimport
Inflasi di negara pengeksport akan meningkatkan kos mengimport faktor-faktor pengeluaran dan barang.
Keadaan ini menyebabkan harga barang import dan harga barang yang dikeluarkan dengan menggunakan faktor pengeluaran import terpaksa dijual dengan harga yang lebih tinggi di pasaran dalam negara, mewujudkan inflasi diimport.