Friday, August 3, 2012

Mikroekonomi: Penentu Keanjalan Permintaan Harga

Huraikan faktor–faktor  yang mempengaruhi keanjalan permintaan harga.
 [10]
a)
Barang pengganti

Permintaan terhadap sesuatu barang adalah anjal sekiranya barang itu  mempunyai banyak barang pengganti kerana kenaikan harga barang tersebut membolehkan pengguna menggantikan barang tersebut kepada barang lain dengan mudah
Sebaliknya permintaan terhadap sesuatu barang adalah tidak anjal sekiranya ia tidak  mempunyai barang pengganti.


b)
Nisbah perbelanjaan daripada pendapatan

Semakin besar bahagian pendapatan yang dibelanjakan ke atas sesuatu barang seperti perbelanjaan ke atas televisyen, semakin anjal permintaan terhadap barang tersebut kerana kenaikan harga yang kecil menyebabkan kuantitinya yang diminta berkurang dengan besar.
Semakin kecil bahagian pendapatan yang dibelanjakan ke atas sesuatu barang seperti perbelanjaan ke atas rokok, semakin tidak anjal permintaan terhadap barang tersebut.


c)
Jangka masa

Dalam jangka pendek, permintaan bersifat tidak anjal kerana permintaan sukar untuk berubah disebabkan kesukaran mencari barang pengganti, walau pun harga barang tersebut berubah.
Dalam jangka panjang, permintaan bersifat anjal kerana lebih mudah mencari pengganti sesuatu barang sekiranya barang tersebut mengalami peningkatan harga.


d)
Kepentingan sesuatu barang

Permintaan terhadap barang yang penting seperti barang keperluan, misalnya air, elektrik, beras dan gula adalah tidak anjal kerana pengguna tetap meminta barang tersebut walaupun harganya meningkat.
Sebaliknya, permintaan terhadap barang bukan keperluan seperti barang mewah adalah bersifat anjal


e)
Penangguhan penggunaan sesuatu barang

Permintaan terhadap barang yang boleh ditangguhkan penggunaannya adalah anjal kerana peningkatan harga akan mengurangkan penggunaannya dengan banyak.
Sebaliknya, jika barang tersebut tidak boleh ditangguhkan penggunaannya, permintaan terhadapnya bersifat tidak anjal


f)
Kesetiaan jenama

Kesetiaan terhadap sesuatu jenama menyebabkan permintaannya bersifat tidak anjal kerana peningkatan harga hanya akan mengurangkan kuantiti penggunaannya dengan sedikit sahaja.
Sebaliknya, permintaan terhadap sesuatu barang yang tidak terikat dengan kesetiaan jenama adalah anjal kerana peningkatan harga akan mengurangkan permintaannya dengan besar


g)
Bilangan kegunaan barang

Jika bilangan kegunaan sesuatu barang adalah terhad, maka permintaannya adalah tidak anjal.
Sebaliknya, jika sesuatu barang mempunyai banyak kegunaan, permintaannya adalah anjal

Nota: Pilih lima isi sahaja