Saturday, February 9, 2013

Kelemahan Penggunaan Data Pendapatan Negara Sebagai Pengukur Taraf Hidup Antara Negara

Huraikan bagaimana faktor yang berikut menerangkan kelemahan menggunakan KDNK / KNK / pendapatan negara sebagai pengukur taraf hidup di antara negara



[10]

(a)    Perbezaan komposisi keluaran negara
         Sekiranya KDNK / KNK / pendapatan negara di negara A lebih tinggi daripada negara B tetapi komposisi keluaran negara A lebih menekankan kepada  keperluan pertahanan berbanding dengan perkembangan sektor-sektor ekonomi di negara B, taraf hidup di negara A tidak semestinya lebih tinggi kerana komposisi keluarannya tidak memberi faedah kepada rakyat secara langsung.
         Perbezaan  komposisi keluaran negara menyebabkan KDNK / KNK / pendapatan negara tidak sesuai untuk mengukur taraf hidup di antara negara.

(b)    Perbezaan tempoh waktu bekerja
         Sekiranya KDNK / KNK / pendapatan negara di negara A lebih tinggi daripada dengan negara B tetapi tempoh waktu bekerja di negara A adalah lebih panjang, taraf hidup di negara A tidak semestinya lebih tinggi kerana taraf  hidup adalah lebih tinggi jika tempoh waktu rehat lebih panjang.
         Oleh itu taraf hidup di antara negara tidak dapat dibandingkan melalui KDNK / KNK / pendapatan negara kerana perbezaan tempoh waktu bekerja / tempoh waktu rehat.

(c)    Perbezaan kesan eksternaliti negatif
         Sekiranya KDNK / KNK / pendapatan negara di negara A lebih tinggi daripada negara B tetapi kemajuan teknologi di negara A mewujudkan eksternaliti negatif seperti pencemaran yang lebih serius, taraf hidup di negara A tidak semestinya lebih tinggi kerana wujudnya pelbagai kos sosial yang perlu ditanggung olehnya.
         Perbezaan eksternaliti negatif  menyebabkan KDNK / KNK / pendapatan negara tidak sesuai untuk mengukur taraf hidup di antara negara.

(d)    Masalah Pengangguran
         Data KDNK / KNK / pendapatan negara tidak dapat menunjukkan kadar pengangguran di sesebuah negara. Ini bermakna, walau pun KDNK / KNK / pendapatan negara di negara A lebih tinggi daripada negara B tetapi jika kadar pengangguran di negara A juga lebih tinggi, taraf hidupnya mungkin lebih rendah kerana ramai tenaga buruhnya tidak bekerja.
         Penggunaan data KDNK / KNK / pendapatan negara tanpa mengambil kira masalah pengangguran tidak dapat memberikan gambaran yang tepat mengenai taraf hidup di antara negara.

(e)    Perbezaan agihan pendapatan
         Taraf hidup di sesebuah negara adalah tinggi jika agihan pendapatannya lebih setara. Sekiranya KDNK / KNK / pendapatan negara  di negara A lebih tinggi daripada negara B tetapi  agihan pendapatan di negara A lebih tidak setara, taraf hidup di negara A tidak semestinya lebih tinggi kerana wujud jurang agihan pendapatan yang besar antara golongan kaya dengan miskin.
         Perbezaan agihan pendapatan menyebabkan  KDNK / KNK / pendapatan negara tidak dapat memberikan gambaran yang sebenar  mengenai taraf hidup di antara negara.

(f)     Perbezaan dalam jumlah kegiatan produktif yang tidak dibayar dengan wang
         KDNK / KNK / pendapatan negara di negara A lebih tinggi daripada negara B tetapi kebanyakan kegiatan produktif seperti membersih rumah, menggosok baju dan memotong rumput tidak dilakukan sendiri, sebaliknya dibayar upah berbanding di negara B yang tidak dibayar upah. Oleh itu, taraf hidup di negara A tidak semestinya lebih tinggi kerana pengukuran taraf hidup sepatutnya mengambil kira kegiatan produktif yang tidak dibayar dengan wang.
         Perbezaan ini menyebabkan KDNK / KNK / pendapatan negara  tidak sesuai untuk mengukur taraf hidup di antara negara.

(g)    Perbezaan iklim dan perbelanjaan
         Negara A beriklim sejuk dan negara B beriklim panas. Walau pun KDNK / KNK / pendapatan negara negara A lebih tinggi, taraf  hidup di negara A tidak semestinya lebih tinggi kerana ia memerlukan perbelanjaan yang lebih besar untuk mendapatkan peralatan dan kemudahan yang lebih sesuai dengan iklimnya.
         Perbezaan iklim menyebabkan  KDNK / KNK / pendapatan negara tidak sesuai untuk mengukur taraf hidup di antara negara.

(h)    Perbezaan tingkat harga umum
         Tingkat harga umum mempengaruhi kuasa beli masyarakat secara songsang . Sekiranya KDNK / KNK / pendapatan negara dan tingkat harga umum di negara A lebih tinggi daripada negara B, taraf hidup di negara A tidak semestinya lebih tinggi kerana kos hidupnya yang lebih tinggi..
         Perbezaan tingkat harga umum  menyebabkan  KDNK / KNK / pendapatan negara tidak sesuai untuk mengukur taraf hidup di antara negara.