Friday, March 29, 2013

Dasar Kewangan Kualitatif Dan Masalah Inflasi

(a)     Dengan memberikan contoh yang sesuai, terangkan  secara  ringkas  dua  bentuk  alat dasar kewangan kualitatif

(b)     Secara ringkas terangkan bentuk-bentuk dasar kewangan kualitatif yang boleh digunakan oleh bank pusat untuk mengatasi masalah inflasi

[4]


[6]

Jawapan Cadangan

(a)   Dengan memberikan contoh yang sesuai, terangkan  secara  ringkas  dua  bentuk  alat dasar kewangan kualitatif




[4]

      i.    Syarat margin
            Syarat margin bertujuan mengawal permintaan wang tujuan untuk spekulasi bagi mengawal kegiatan spekulasi di pasaran saham. Ia menentukan jumlah pinjaman yang boleh di buat untuk membeli saham.
             Contohnya;- 70:30, bermakna 70% daripada harga saham mesti dibayar oleh pembeli manakala 30% lagi dibiayai melalui pinjaman daripada institusi kewangan 

       ii.   Kredit ansuran
             Kredit ansuran bertujuan untuk mengawal pembelian barang tahan lama secara ansuran (kredit) dengan menentukan bayaran pendahuluan minimum dan tempoh masa bayaran balik bagi pembelian tersebut.
             Contohnya:- menetapkan bayaran pendahuluan sebanyak 15% daripada harga barang yang dibeli dan menetapkan tempoh masa bayaran balik kredit selama 24 bulan.

       iii.  Kawalan ke atas gadai janji
             Kawalan ke atas gadai janji bertujuan mengawal pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan kepada masyarakat untuk membeli rumah atau aset tetap. Ia memerlukan peminjam membuat gadai janji atas pinjaman yang dibuat.
             Contohnya:- sekiranya peminjam membuat pinjaman perumahan, maka gadai janji bagi pinjaman tersebut ialah rumah yang dibeli.  

       iv.  Pujukan moral
            Pujukan moral ialah tindakan bank pusat memujuk bank-bank perdagangan menjalankan langkah-langkah yang sesuai bagi menjayakan dasar-dasar kerajaan.                                    
             Kejayaan pujukan moral bergantung kepada kesanggupan bank-bank perdagangan untuk memberikan kerjasama kepada bank pusat.
             Contohnya:- Bank pusat memujuk bank-bank perdagangan mengurangkan pemberian pinjaman untuk tujuan spekulasi bagi mengurangkan masalah inflasi.

(b)   Secara ringkas terangkan bentuk-bentuk dasar kewangan kualitatif yang boleh digunakan oleh bank pusat untuk mengatasi masalah inflasi

[6]

        i.      Syarat margin
               Bank pusat akan menaikkan syarat margin, misalnya kepada 90:10.  Oleh itu, pembeli terpaksa membayar 90% daripada harga saham dan hanya boleh meminjam sebanyak 10%   sahaja daripada institusi kewangan. Keadaan ini akan mengurangkan penawaran wang dan meningkatkan kadar bunga.
               Peningkatan kadar bunga akan mengurangkan pelaburan, perbelanjaan agregat dan permintaan agregat. Oleh itu, pendapatan negara akan berkurang menyebabkan tingkat harga turun dan inflasi dapat diatasi.

        ii.     Kredit ansuran
               Bank pusat akan menaikkan bayaran pendahuluan minimum dan memendekkan tempoh bayaran balik pinjaman bagi mengurangkan kemampuan masyarakat membuat pinjaman. Keadaan ini akan mengurangkan penawaran wang dan meningkatkan kadar bunga.
               Peningkatan kadar bunga akan mengurangkan pelaburan, perbelanjaan agregat dan permintaan agregat. Oleh itu, pendapatan negara akan berkurang menyebabkan tingkat harga turun dan inflasi dapat diatasi.

        iii.    Kawalan ke atas gadai janji
               Bank pusat akan mengetatkan syarat-syarat ke atas gadai janji untuk mengurangkan pinjaman masyarakat membeli rumah atau aset tetap. Penawaran wang akan berkurang dan meningkatkan kadar bunga.
               Peningkatan kadar bunga akan mengurangkan pelaburan, perbelanjaan agregat dan permintaan agregat. Oleh itu, pendapatan negara akan berkurang menyebabkan tingkat harga turun dan inflasi dapat diatasi.

        iv.    Pujukan moral
               Bank pusat akan memujuk bank-bank perdagangan mengurangkan pinjaman yang tidak produktif serta pinjaman yang bersifat spekulasi kepada masyarakat supaya pinjaman dan penawaran wang berkurang. 
               Pengurangan penawaran wang akan meningkatkan kadar bunga, mengurangkan pelaburan, mengurangkan perbelanjaan agregat dan mengurangkan permintaan agregat. Oleh itu, pendapatan negara akan berkurang menyebabkan tingkat harga turun, dan inflasi dapat diatasi.